SEJARAH

 

Rentetan Sejarah Kampung

Kira-kira 10 dekad yang lalu, Daerah Jerantut dan Temerloh dihuni oleh masyarakat yang berasal dari Bangkinang, sebuah tempat di Sumatera, Indonesia. Kehadiran mereka ke daerah ini menjadi titik tolak kepada pembukaan Kampung Simpang Pelangai. Satu peristiwa bersejarah berlaku berhampiran sebuah kawasan tanah perkuburan yang masih wujud hingga kini. Pada ketika itu, terdapat sebuah surau kecil yang dikendalikan oleh Pakeh Taayun yang merupakan seorang guru agama. Surau ini menjadi pusat tumpuan penduduk kampung untuk beribadat dan mendalami ilmu agama.

Pada 1940, telah berlaku peristiwa bersejarah di Tanah Melayu iaitu peristiwa penjajahan Jepun yang memberi penderitaan kepada penduduk Tanah Melayu ketika itu. Walau bagaimanapun, penderitaan penduduk masih belum berakhir meskipun selepas Jepun menyerah kalah. Kemunculan komunis setelah Jepun menyerah kalah telah menyebabkan pihak pentadbiran di Tanah Melayu mengisytiharkan darurat dan perintah berkurung dilaksanakan. Rentetan daripada perisytiharan darurat itu, semua penduduk Kampung Tengah telah dipindahkan ke Simpang Pelangai pada 1952.

Sejarah nama Kampung Simpang Pelangai pula tercipta berasaskan kedudukan kampung yang terletak di kawasan simpang dan berdekatan dengan Sungai Pelangai. Oleh yang demikian, orang kampung pada waktu itu telah sepakat menamakan Kampung Simpang Pelangai. Manakala, sejarah bangunan Mukim Penghulu dan pejabat Jabatan Perhutanan mula dibina sekitar 1930-an, manakala sekolah Melayu pula dibina secara bergotong-royong oleh penduduk kampung selepas lima tahun berikutnya. Sekolah tersebut masih kekal sehingga kini dan dikenali sebagai Sekolah Kebangsaan Simpang Pelangai.

Setelah lebih 90 tahun kampung ini dibuka berlaku pelbagai perubahan yang sangat ketara. Sekiranya dahulu penduduk setempat menggunakan jalan penarik untuk menarik kayu balak ke dalam kampung dan sampan sebagai alat berhubung tetapi kini perhubungan semakin meluas dengan adanya jalan raya berturap dan sistem pengangkutan yang sistematik.

 

 

MUKIM PELANGAI SEMASA PENTADBIRAN JEPUN (1942-1945)

Tentera Jepun telah sampai ke Simpang Pelangai (Bentong, Pahang) pada hari Jumaat jam 10.00 pagi Januari tahun 1942). Di Simpang Pelangai pihak Jepun telah mendirikan Balai Polis Jepun dengan menumpang sebuah kedai Cina bernama Tew Leong Kim. Ketika itu, Simpang Pelangai lebih dikenali oleh pihak Jepun sebagai “Kebun Ubi Kayu Leong Kim Simpang Pelangai”. Balai Polis Jepun ini diketuai oleh Tuan Yoshida, dan dibantu oleh pembantunya Hashigawa, dan 3 orang anggota polis Melayu, dan 2 orang Cina. Pada zaman pemerintahan British, Balai Polis dikenali sebagai “Rumah Pasung Simpang Pelangai”, tetapi di zaman Jepun, ia dikenali sebagai, “Toko Betsu Ketsatsutai Manchis” (Bahasa Jepun). Ketika Tentera Jepun tiba di Simpang Pelangai, penduduk kampung di bawah Mukim Pelangai seperti Kg. Simpang Pelangai, Kg. Bukit Gajah, Kg. Jawi-Jawi, dan Kg. Baris, dan Kg. Melan berada dalam keadaan selamat, dan tidak dipengapakan oleh Tentera Jepun. Keadaan ini berlaku disebabkan kebijaksanaan Penghulu Kassim bin Abdullah dan Tok Empat Abu Samah bin Lisut yang memberi kerjasama sepenuhnya kepada pihak Tentera Jepun. 

Sebaik sahaja Tentera Jepun menduduki Mukim Pelangai, mereka telah membina “kubu-kubu pertahanan” kerana khuatir kalau-kalau pihak British menyerang mereka semula.  Kubu-kubu tersebut telah dibina di Mancis, di Jawi-Jawi, di Melan, dan di Simpang Pelangai. Bagi mengawal pertahanan di kubu-kubu ini, pihak Jepun telah menubuhkan “Pasukan Home-Guard” yang disebut “Jikeidan” (Bahasa Jepun) dengan bantuan “Kempitai” yang hanya bersenjatakan “kayu cota” untuk membantu Polis Jepun dan Tentera Jepun. Di Simpang Pelangai, Ketua Jikeidan yang disebut, “Bodenco” (Bahasa Jepun) disandang oleh allahyarham Mat Akil bin Teh.

Pentadbiran Jepun di Tanah Melayu telah melantik seorang Pegawai Tentera Jepun bernama Wataki sebagai “Ketua Mukim Pelangai” dengan beberapa orang anggota Tentera Jepun berpangkat rendah yang dikenali sebagai “Kei Bo” (Sarjan), “Kei Bo Ho” (kopral), “Junsai Bo Cho” (Lans Kopral), dan “Junsai” (mata-mata). Tugas utama Pegawai Jepun ini adalah untuk menjaga keamanan di kampung-kampung, dan menangkap orang-orang yang dianggap pesalah di Mukim Pelangai, dan kemudiannya mereka akan dihantar ke Bentong. Semua anggota Tentera Jepun berpangkat Junsai hingga Kei Bo terdiri daripada orang Melayu.

Di Mukim Pelangai seperti juga di tempat-tempat lain di Tanah Melayu, Tentera Jepun menggunakan balai polis, sekolah, masjid dan rumah penghulu sebagai pusat gerakan tentera. Ketika itu, orang-orang kampung enggan bersembahyang di masjid yang diduduki oleh Tentera Jepun.  Mereka juga takut kalau-kalau mereka disuruh menjadi anggota Tentera Jepun atau mencari bekalan makanan untuk mereka. Bagi tujuan mengembangkan kebudayaan Jepun di Tanah Melayu, Sekolah Jepun telah dibuka dengan menitikberatkan Bahasa Jepun (Nippon Go) dan Tulisan Jepun yang dikenali sebagai “Katagana” dan “Kanji”. Di Mukim Pelangai pada masa itu, Bahasa Jepun diajar oleh seorang guru bangsa Jepun bernama Kamakara, manakala Bahasa Melayu oleh seorang guru berbangsa Melayu yang dikenali sebagai Cikgu Abd Manaf. Sekolah Jepun di Mukim Pelangai kurang mendapat sambutan, cuma ada kira-kira 25 hingga 30 orang sahaja. Selain itru, Pentadbiran Tentera Jepun (PTJ) turut mengabaikan perkhidmatan kesihatan bagi penduduk Mukim Pelangai. Hospital Bentong yang terus beroperasi ketika itu agak jauh dari Mukim Pelangai kira-kira 42 batu. Oleh itu, masyarakat di Mukim Pelangai masih tertumpu kepada perubatan tradisional untuk mengubati sebarang penyakit.

Beberapa orang belia Mukim Pelangai ketika itu telah dipaksa oleh Jepun menjadi “buruh keretapi maut” di Burma, tetapi kemudiannya mereka telah berjaya melarikan diri, dan kembali ke Mukim Pelangai meskipun menempuh pelbagai rintangan yang sukar dan penuh berbahaya. Sebahagian kecil belia pula ada yang dipaksa menjadi Tentera Jepun (Bo Tai & Heiho) atau Sukarelawan Jepun (Giyu Gun & Gi Yu Tai). Di Mukim Pelangai, orang Melayu boleh dikatakan mendapat layanan yang baik daripada Tentera Jepun berbanding orang Cina. Namun begitu, setiap penduduk kampung tanpa mengira bangsa perlu “menundukkan kepala” atau “Keirei” (Bahasa Jepun) sebagai tanda hormat kepada Pegawai Jepun.  Jika enggan berbuat demikian, orang yang berkenaan akan dikenakan pelbagai seksaan seperti dipukul, ditampar, atau didenda memanjat pokok kelapa, dan sebagainya.

Pada tahap awal kehadiran Tentera Jepun, penduduk di Mukim Pelangai tidak mengalami banyak kesulitan sumber makanan kerana padi yang diusahakan sebelum itu masih banyak, tetapi lama kelamaan bekalan padi menjadi semakin berkurangan kerana Tentera Jepun telah mengambilnya secara paksa. Jika sesiapa yang enggan memberikan padi atau sumber makanan lain yang diminta, mereka akan dikasari. Ketika itulah, ramai penduduk Melayu di Pelangai yang menerima penderaan dan penyeksaan. Bagi mengatasi masalah bekalan makanan yang berkurangan. Pentadbiran Tentera Jepun mengerahkan semua penduduk menanam padi di “Paya Pelangai” seluas kira-kira 70 ekar di bawah pengawasan Tentera Jepun.  Tanaman padi ini semuanya untuk menampung keperluan bekalan makanan Tentera Jepun. 

            Di zaman Pentadbiran Tentera Jepun, makanan harian penduduk dicatu, dan bekalan makanan seperti beras, rokok, gula dan minyak kelapa dibekalkan melalui “kad kuasa” yang dikeluarkan oleh Ketua Bodencho Jepun, Mat Akil bin Teh. Di Mukim Pelangai, sungguhpun Tentera Jepun bermaharajalela dan berbuat sesuka hati mereka dengan merampas harta dan barang-barang seperti padi, buah kelapa, serta membunuh orang-orang Cina, dan lain-lain, tetapi setakat yang dilaporkan tiada berlaku perbuatan kejam seperi memperkosa kaum wanita, membunuh, melambung anak-anak kecil, dan ditadahkan dengan benet senapang, serta perbuatan kejam yang lain. Perkara ini tidak berlaku disebabkan kebijaksanaan Penghulu Kassim, Tok Empat Abu Samah, dan Ketua Bodencho Jepun Mat Akil bin Teh yang pandai mengambil hati Ketua Tentera Jepun di Mukim Pelangai. Oleh itu, tiadalah berlaku pembunuhan terhadap orang Melayu di Mukim Pelangai oleh Tentera Jepun kecuali beberapa orang Cina ditembak kerana disyaki bersuhabat dengan komunis.

            Di Mukim Pelangai seperti juga di tempat-tempat lain di Pahang, dan Tanah Melayu amnya adalah zaman yang penuh penderitaan dan pahit-gretir yang sukar dibayangkan. Makanan dan pakaian amat sukar diperolehi ketika itu. Rakyat-jelata terpaksa bergantung hidup dengan catuan makanan seperti ubi kayu, ubi gadung, pisang, dan sagu menggantikan beras yang sukar diperolehi. Jika berlaku kematian, tekpaksa jenazah dikapankan dengan tikar mengkuang kerana sukar untuk mendapatkan kain kapan. Meskipun begitu, secara umum, penududuk Mukim Pelangai  terlepas dari siksaan Tentera Jepun, tidak  seperti yang berlaku di Lipis, dan tempat-tempat lain di Pahang.             

            Sewaktu Tentera Jepun menyerah kalah kepada pihak Berikat, Tentera Jepun di Mukim Pelangai telah dijadikan “tawanan perang” kepada Tentera British, dan semua mereka ditempatkan di Kg. Jawi-Jawi.  Pada masa itu, Tentera Jepun yang ditawan telah dikerah menebas hutan tebal untuk membuat jalan ke Paya Pelangai.